Wednesday 26 December 2012

Ketika aku sedang ingin berbicara (2)


(ii) Lain pula kisahnya apabila kita ingin berbicara tentang satu perikatan moden parti politik yang cukup dinamik, Pakatan Rakyat. Sejarahnya berwarna warni, naik turun bersandarkan isu dan kesefahaman. Lahir dari semangat yang satu, menjatuhkan kerajaan BN, menguburkan kezaliman dan berbagai slogannya. Ia cukup menarik apabila ia bersatu dari latar faham politik yang cukup berbeza. Malah perbezaan ini telah memecahkan mereka pada PRU-2004 yang menyaksikan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi menerima ‘kredit politik’ yang cukup tinggi. PKR-PAS-DAP, siapa yang tidak mengenali akar perjuangan mereka, nampak ia utuh, tapi bila-bila sahaja boleh meletus kerana fundemantel perjuangan setiap satu amat berbeza. Mungkin ada yang tidak setuju kerana anggapannya adalah mereka memperjuangkan titik noktah yang sama iaitu keadilan, kesaksamaan, transparensi dan apa sahaja kamus demokrat moden. Hakikatnya definisi keadilan dan agama amat berbeza. PKR, sebuah parti moden, campuran bangsa/agama yang bertunjangkan faham moden agama yang tidak mungkin seseorang mampu menyimpulkan dalam sepatah perkataan. Sekular kah ia? Liberal kah ia? Mungkin Islamist Moden? Saya katakan payah kerana definisi liberal dan sekular yang dipopularkan oleh ‘ustaz-ustaz’ politik Malaysia (khususnya PAS) adalah amat pelik! Sebab itu PAS dilihat satu masa amat ‘fundemantalist, puritan’ kerana bukan sahaja ‘tegas/keras’ malah slogan mereka yang ditonjolkan adalah hudud/Negara Islam. DAP pelengkap kepada 3 campuran parti politik yang istimewa ini. Tunjang sosialisme dan profesionalisme mencerminkan parti ini. PAS dan DAP seringkali dilihat tidak sekata terutama dalam isu-isu berkaitan prinsip Islam, yang PAS tegaskan sebagai tiada tolak ansur. Disini peranan PKR, yang lebih spesifik Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mengayam kata, membelit lidah untuk meredakan ketegangan antara mereka.
Maka, adakah mereka sebuah parti alternatif untuk masalah-masalah BN/UMNO seperti entri yang lalu? Saya boleh katakan: Ya dan Tidak. Saya katakan, Ya, kerana  sekiranya PR boleh menawan Putrajaya, ia akan memberikan dua impak secara serentak. Pertama, BN akan melalui transformasi sebenar bukan sekadar luaran yang palsu. Perangai sesetengah pemimpin UMNO yang amat jelek dengan pengamalan rasuah yang tidak terbendung dan diamalkan dihampir semua peringkat dapat dirubah. Bukan sahaja ketua-ketua cawangan atau bahagian terduduk, malah pegawai-pegawai kerajaan di kaunter-kaunter premis kerajaan akan terhangguk. Kisah dipaksa, diminta dan terpaksa memberikan pelicin kerja bukan sesuatu yang baru, malah ia tidak langsung boleh diperbuat apa-apa dibeberapa peringkat. Malah, melalui kejatuhan UMNO, ia akan bangkit sekali lagi dengan lebih kuat sebagai pesaing kepada PR dalam padang yang lapang dan rata untuk bersaing. Ia mungkin dapat dilihat seperti nasib GOLKAR di Indonesia. Kedua, kerajaan PR akan bertemu ruas sebenar pemerintahan pusat. Kita akan menilai mereka dengan janji-janji ‘bulan bintang’ yang ditaburkan. Kalau mereka berjaya untuk penggal pertama, mereka mampu kekal untuk 50 tahun lagi, mereka gagal, mereka akan terpaksa bertatih kembali. Hari ini, PR nampak cukup kukuh kerana isu yang mereka bawa amat signifikan dan menyentuh rakyat. Setiap satu salah kerajaan mereka akan kupas dan siat sehingga yang kudis dilihat barah.
Kalau jawapan Tidak pula, ia kerana isu peribadi beberapa pemimpin utama PR dan ‘track record’ sebilangan pemimpin PR di Perak dan Selangor, setelah mengambil kerajaan, lagaknya seakan mirip UMNO-BN juga.
Namun, apa yang membuatkan saya lebih tertarik adalah PAS sebagai tunjang parti yang ber’perlembagaan’kan Islam perlu lebih matang. PAS ada potensi besar menjadi parti pemerintah yang mampu menjadi sehebat AKP di Turki, Ikhwanul Muslimin (IM) di Mesir dan seangkatannya. PAS sangat dihormati kerana pendiriannya yang cukup kukuh untuk menegakkan Islam. Namun PAS secara spesifik telah berlaku transformasi yang mana hari ini telah mempertembungkan tiga kelompok yang saya labelkan sebagai moderat Islam, klasik/ortodoks Islam dan Syiah. Ia sangat berkait dengan cara pembawakan agama didalam medan politik. Saya katakana, ia disebabkan antaranya adalah kerana majoriti Melayu Muslim di Malaysia amat jumud menilai agama hanya dari cara berpakaian. Kalau seorang ‘Encik’ yang pencen sebagai pegawai bank, kemudian selepas bersara, rajinnya ke masjid/surau, diletakkan dikepala kopiah atau pun serban, maka bertukarlah ‘encik’ kepada ‘ustaz’. Beberapa lama selepas itu, dari ‘ustaz’ kepada ‘ulama’ dan seterusnya. Bukan saya hinakan mereka kearah kebaikan, tetapi bagaimana orang kita menilai mereka cukup ‘simple’ untuk dilekatkan panggilan tokoh agama. Walaupun, kuliah dan ceramah bercampur baur ayat suci Kalam Ilahi dan maki hamun, dia tetaplah dilonggokkan dalam kelompok agung “ulama’ rabbani” maka maki hamunnya akan dipejamkan.
Seterusnya, buat PAS, adakah wajib dan perlu pemimpin/presiden mesti “ustaz-ustaz”? Tidaklah menjadi masalah sekiranya ustaz/tokoh agama itu seorang yang cukup dinamik dengan pengetahuan yang menyeluruh akan dunia luar dan agama, maka dia adalah amat terpilih. Namun, hakikat parti itu berbeza. Ia kekurangan orang seperti ini. Saya secara peribadi dengan menghormati ketokohan dalam agam Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, namun beliau tidak lah se-dinamik  Dato Tuan Guru Nik Abd Aziz. Ia suatu yang jelas. Presiden PAS gagal membincangkan secara terbuka polisi apa yang ingin dilaksanakan. Kita tahu, mereka ingin menjadikan negara ini sebagai negara berkebajikan, tiada rasuah dan macam-macam lagi. Itu pun yang akan dijawab UMNO kalau ditanya. Tetapi apakah model sebenar. Dalam hal ini, PKR dan DAP telah pun melangkah jauh kehadapan. Mereka membentang idea yang banyak. Rafizi dalam PKR telah mengubah landskap politik PKR dari ‘sibuk’ membantu de-facto nya yang bermacam isu peribadi kepada fakta dan angka ekonomi dan politik baru. Debat dan bentang idea yang cukup menarik. Begitu jua Tony  Pua dalam DAP, mereka berkongsi aspirasi. Adakah PAS tiada? Ya, PAS mempunyai Dr. Dzulkifli Ahmad dan lain-lain. Namun, dimanakah mereka dalam merangka perjalanan parti? Adakah mereka diberikan ruang yang tinggi sehingga ke jawatan-jawatan pembuat dasar? Di peringkat negeri pun mereka gagal diberi tempat. Bagi saya, sejahat-jahat orang PAS, dia tidak makan rasuah, mereka terdidik baik. Cuma, apabila mereka gagal memilih tokoh yang terbaik, mereka akan hancur. Itu yang terjadi kepada Terengganu dahulu. Selangor hari ini tidak menobatkan Azmin Ali sebagai Menteri Besar, tetapi tokoh pengurusan yang cekap, Tan Sri Abd. Khalid Ibrahim. Selangor terkehadapan jauh dengan kemodenan yang sudah sedia ada wujud. Ustaz atau bukan, ia bukanlah satu isu memimpin PAS. PAS janganlah lagi terbuai dengan semua itu. Ke-ustaz-an seseorang adalah untuk dirinya sendiri, tetapi kelemahan pengurusan ustaz tersebut akan membinasakan parti dan negeri/a yang dipimpinnya. Saya tidaklah pasti PAS mahu disamakan dengan IM Mesir atau tidak. Tetapi, kisah dan ketokohan IM selalu saja diulang-ulang oleh mereka.  
PAS juga tidak mampu menafikan, sama ada ia berskala kecil atau besar, namun hakikat Syiah  sudah bersarang tidak mampu disangkal. Tanpa memberikan nama secara ‘detail’, Timbalan Presiden PAS, Mohd. Sabu mampu disebut sebagai ikon Syiah yang tiada hijabnya lagi. Tindakan paling biadap yang dilakukan oleh beliau apabila pergi bersemuka dengan menteri kanan Basyar Assad dan membuat kenyataan bahawa ia sekadar gembar gembur media dan hanyalah salah faham. Sehingga ke saat ini, PAS masih lagi berkunci mulut tanpa berani mengutuk perbuatan Timbalan Presidennya. Tidakkah beliau telah melanggar prinsip jamaah anda? Atau ketika perkara ini berlaku di pihak UMNO, ia isu prinsip tetapi sekiranya salah jelas Mat Sabu buat hanyalah pendirian peribadi? Kalau saya boleh pinjam perkataan pemidato-pemidato anda selalu, ia adalah pendirian MUNAFIQ! Dengan senang sekali Hanipa Maidin boleh memuji puja Khomeini yang jelas mengkafirkan Amir al-Mu’minin Umar ibn al-Khattab dihalaman lidah rasmi HARAKAH. Dimana maruahmu lagi PAS?! Ya, saya tahu anda akan kata, perjuangan perkara lebih besar, iaitu pemerintahan lebih utama. Takkanlah isu akidah lebih remeh berbanding politik pemerintahan anda?!
Oleh yang demikian, kelompok-kelompok yang matang dan segar seperti Dr. Mujahid Rawa dan rakan-rakannya sewajarnya diberikan tempat oleh PAS dan penyokongnya sendiri. Tulisan ini bukanlah bermaksud, UMNO lebih baik, tetapi dalam mana PAS ingin jadi alternatif, janganlah pula PAS menjadi dua kali lima, kerana PAS meletakkan Islam sebagai dasar. Islam bukan sahaja diantara hudud dan undi tetapi ia juga konsistensi, profesionalisme dan transperansi. PAS perlu juga berubah dengan membuang parasit-parasit Syiah dan kejumudan yang wujud sekian lama. Inilah luahan graduan agama yang mahu melihat parti Islam Malaysia tidak disebut dalam sejarah sebagai gerakan kartun dan tidak kompetitif.

Monday 3 December 2012

Ketika aku sedang ingin berbicara (1)


Saya kembali semula ke London, menyambung pengajian, tiada satu tulisan pun mampu dikarang. Apa yang satu takuti, konsisten, memang benar-benar terjadi. Kadang kala ia bukanlah sibuk sehingga tidak mampu menggerakkan jari menari diatas papan keyboard, tetapi buntu dan ada sahaja yang menyesakkan minda.
Namun, setelah tiap minggu diasak dengan soalan, saya gagahi mencoret ayat dibalik kesejukan membeku kota ini. Soalan yang tidak lari berbentuk politik dan ‘kemeriahannya’ yang sedang berlangsung di Malaysia. Walau bagaimana pun, Alhamdulillah, soalan agama lebih dari politik untuk dibincangkan. Letih dan muak, dua perkataan untuk disimpulkan apa yang berlaku di Malaysia.

Politik dan Malaysia
Saya ingin berbicara buat rakan-rakan politik dan peminatnya.  Ingin saya katakan, duduk di luar Malaysia, keterlibatan yang minimum dalam urusan politik, walau kita tidaklah pengamal aktif politik, adalah lebih tenang dan aman. Memerhati jauh apa yang berlaku di tanah air yang tidak mungkin lari dari kerinduan padanya. Keluarga tercinta dan orang disayangi menetap jauh dimata tidak dihati. Namun, ketika orang politik dan yang galak politik berkelahi, kita tidak ditarik masuk kerana kita jauh. Secara fakta, ia tenang kerana cara orang di United Kingdom(UK) berpolitik adalah matang dan masak untuk dibanding beza dengan kita. Tiada gula-gula politik atau tiada kes salah guna kuasa yang didiamkan antara rakan politik. Ia terbuka dan tiada tersembunyi dari raja hingga ke rakyat biasa. Politik mereka tidak pelik dan jelek, mereka berdebat apa yang terbaik buat negara dengan membentang idea dan penyelesaian. Politik kita melihat apa yang diatas tetapi tiada yang peduli apa yang dibawah. Orang politik berbicara apa yang boleh membantu mereka mendapat tambahan sokongan walau ia lekeh dari segi prinsip. Sudahlah yang ada terpalit sungguh banyak isu prinsip, keadilan dan macam-macam yang melenguhkan rahang bila diumpat seperti UMNO dan rakan-rakan BN nya. Tidak lah untuk dilihat apa yang berlaku pada pakatan pembangkang sebagai satu-satunya perjuangan alternatif yang pasti penyelesaian buat masalah yang ditimbulkan.
Saya mungkin mesra pada sesetengah orang politik, tapi ia tidak membuatkan saya memberikan sokongan tanpa usul periksa.
Persoalan saya, mengapa kita terlalu sombong untuk belajar dari orang luar? Adakah kafir sangat barat sehingga prinsip ketelusan yang mereka amalkan pun dipandang bagaikan najis? Adakah sistem ‘Islam’ yang kita perjuangkan lebih suci walau ia dipenuhi janji-janji palsu dan retorik?

(i)
UMNO telah lama bertapak bahkan memerintah Malaysia. UMNO tidak dinafikan telah berjaya mematri perasaan jiwa bangsa Melayu bagi sebahagian besar masyarakat Melayu lama yang hidup semasa awal ia memerintah dan membangun Malaysia. Dalam waktu yang sama, pembangkang yang ada punyai peranan dalam mewarna politik dan arah tuju negara. Ia telah memahat sesuatu yang baik untuk Malaysia. Pergilah kemana sahaja pelusuk dunia, sama ada dunia barat atau Islam, Malaysia dikatakan telah berdiri pada kelasnya tersendiri ketika negara lain khususnya dunia Islam masih mencari-cari formula pembangunan yang strategik. Mesir dengan ketidakstabilannya, Libya dengan porak perandanya, belum lagi yang masih dicengkam monarki atau anarki zalim menindas rakyat sendiri. Malaysia dilihat telah jauh kehadapan. Tetapi, saya suka katakan selepas pujian meleret ini disua, “kami di Malaysia mampu pergi lebih baik dari yang ada”. Disamping kita bersyukur pada Allah apa yang kita capai, walaupun begitu apabila kita halusi urusan domestik negara, kita sahaja tahu, dimana kita. Adakah disamping kejayaan yang dicanang, maka kesalahan janganlah kita sembangkan?
Janganlah begitu rakanku di pihak kerajaan. Akuilah, banyak sungguh masalah dalam pengurusan kerajaan yang perlu anda bersungguh untuk turun dan selesaikan. Tidakkah anda pernah tertanya apa yang kami rasa sebagai rakyat marhaen yang berurusan di kaunter kerajaan apabila wujud pegawai bawahan biasa seakan warlord di tempat mereka? Pegawai agama pun terpalit sama bagaikan pemegang kuasa tanpa hadnya? Mengguna dana awam bagaikan hak ‘ibu bapa’ tanpa malu? Sedangkan duit kami pembayar cukai dipulas sampai nak lesu? Inilah punca rakyat bangkit menunjukkan rasa jemu atas apa sahaja salah laku. Jangan terbeliak ketika mereka membuat keputusan dalam PRU!
Saya hairan terhadap kelompok yang sungguh-sungguh nak ambil apa sahaja projek dan khazanah kerajaan untuk makanan seisi rumah. Sudahlah dibolot bersih, buat kerja pun tidak mahu. Tidakkah kita pelik, kalau pun ingin disapu projek tersebut, sekurang-kurangnya selesaikanlah kerja-kerja yang sepatutnya. Isu NFC sebagai contoh bagaimana salah laku ini diterjemahkan. Rakyat mungkin tidak marah apabila NFC sendiri mampu diurus dengan penuh disiplin. Bagaimanakah pinjaman dari pihak kerajaan (baca: duit tax payer) digunakan untuk membeli hartanah dan macam-macam lagi yang tidak termasuk terma pinjaman? Saya tidaklah bersetuju dengan pemberian kontrak itu, saya lebih suka ketelusan, namun apabila sudah diberi mengapa ingin dikhianati? Belum lagi isu agama yang didendangkan sesetengah tokoh muda yang cukup bagus namun gagal menghadam realiti politik baru. Ketika dunia kearah keterbukaan dan politik aspirasi baru, dibuai lah pula bagaimana sebuah kerajaan itu ‘dijanjikan ruang kemaksuman’ disokong dalil dan penghujahan agama. Pemerintah tidak boleh dikritik dikhayalak ramai walau isu rakyat jelata, mesti dipegang hulur tangan dek kerana bejatnya idea mengaitkan antara nas agama dan realiti berpiak dibumi nyata. Apa yang saya cukup bimbang, mereka akan kempen kearah penghapusan sistem demokrasi dan sebahagian pihak bergelek tari kuasa dikekal dan orang agama pengawal. Inilah yang merosak agama dan menghancur negara.
Cadangan saya, dalam sistem yang terbentuk dalam UMNO hari ini sebagai parti tunggak pemerintahan, ia perlukan perubahan yang sebenar bukan sahaja laungan di media atau perhimpunan agung. Berani merubah pimpinan anda. Sudah-sudahlah yang duduk dikerusi menteri yang sudah lebih puluhan tahun. Kalau sumbangan nya banyak tidak lah mengapa, bercakap pun teks terpaksa disedia, update FB atau Twitter jauh sekaliPolitik belasah lawan wajib ditinggalkan berbandingkan politik buat kerja dan membuktikan sesuatu yang mampu dirasai oleh rakyat. Kutuk, hasut dan maki tidak akan kemana melainkan anda telah memenuhi apa yang dikehendaki oleh rakyat sejajar apa yang diingini oleh mereka. Rakyat berkira makan dan pakai, rumah dan kenderaan tidak semurah menteri yang percuma serbi satu kemudian anda tergamak berbicara rakyat perlu bersama berjimat untuk negara? Memerintah dengan hidup seorang rakyat biasa bukan berbicara tentang kemiskinan namun duduk diatas kerusi empuk harga gaji sebulan si anak desa. Ini bukan coretan seorang yang anti-pemerintah atau pro-pembangkang, tetapi luahan si anak kampung yang ingin seketika kepada engkau untuk berbicara.

Thursday 30 August 2012

Hudud: Permainan Istilah & Makna Pedagang Politik (1)


Tiap kali musimnya datang, Hudud menjadi siulan ramai orang. Dari yang si jahil agama dan politik kepada pakar yang diakui kesarjanaannya. Parti politik sudah tentu tidak melepaskan peluang. UMNO amat pakar dalam isu ini yang kadang kala di posisi menyerang bola tanggung dan tidak kurang menggunakannya meraih simpati dan undi.
Berbeza pula dengan PAS, secara umum nadanya konsisten. Cuma kadangkala susunan kata mengeluarkan kata diatur berhati-hati agar tidak terluka kawan baiknya DAP. Dalam sibuknya PAS merasa laluan akan sukar melaksanakan hudud dek wujudnya DAP, adakah PAS cukup yakin parti berbilang watak dan perangai seperti PKR akan memberi laluan mudah? Bagi saya, jawapannya tidak.
Sebelum itu, suka diingatkan, sangkaan banyak ‘pakar-pakar’ analisa politik di peringkat bawahan yang akan mudah membuat kesimpulan, tulisan ini pro-UMNO, noktah. Mudah dan cepat kesimpulannya. Dr. Maszlee, sahabat saya ada mengungkapkan satu ayat yang cukup menarik mengulas perangai kelompok sebegini dalam status Facebook (FB) beliau:

"Mengkritik BN tidak menjadikan seseorang itu pembangkang, mengkritik PR juga tidak menjadikan seseorang itu barua BN; sama juga mengkritik PAS tidak menjadikan seseorang Muslim itu kafir, dan mengkritik UMNO tidak menjadikan seseorang Melayu itu derhaka pada bangsa dan negaranya." Aku katakan, "Inilah politik baru aspirasi rakyat."

Selain wujudnya kelemahan PAS memahamkan rakan-rakan bukan Islam untuk lebih mesra dengan Hudud, UMNO yang sekian lama memerintah juga bukan sedikit baculnya dengan MCA dan usaha kearah pelaksanaan hudud. Walaupun kita tidak disuruh menghukum manusia, namun UMNO akan jadikan hudud sebagai modal pada sesetengah ketika. Saya setuju pandangan itu. Tetapi, PAS tidaklah lebih baik mempromosi kefahaman yang lebih baik akannya.

PAS perlu berhenti untuk menyalahkan parti lawan dalam banyak perkara. PAS perlu banyak belajar dari rakan-rakan politik yang seangkatannya di banyak negara Arab pasca-revolusi. Ikhwan di Mesir tidak kelam kabut dengan hudud selepas mendapat kuasa kerana hudud memerlukan suasana yang kondusif yang mampu dilihat dan dirasa ia adil. Berapa banyak pihak-pihak diatas sana yang dikritik pun amat ‘maksum’ apatah lagi diambil tindakan. Pernah diusahakan agar ‘kemaksuman’ itu dikurangkan, PAS juga berlagak jaguh katanya itu menderhaka. Kekekurangan sikap konsisten itu akan memalitkan salah faham yang bukan sedikit pada Islam bukan sahaja pada parti politik Islam.

Tidaklah salah buat PAS untuk melupakan seketika idea hudud tersebut. Bukan menganggapnya bukan hukum Allah sepertimana Ikhwan di Mesir tidak melaksanakannya bukan kerana ia tidak wajib. Tetapi ia memerlukan pra-syarat yang bukan sedikit. Bukan jua  kita lengah-lengahkan, tidak juga memandai-mandai. Ia telah disebut sarjana Islam berkurun lama bahkan ia pernah tidak dilaksanakan seketika dalam beberapa zaman. Hudud adalah hukum Allah yang wajib bagi mana-mana Muslim  bercita-cita sama ada melaksanakannya atau membantu pelaksanaannya. Tetapi ia bukan semudah cita-cita politik dan menifesto pilihanraya. Lihat pada realiti bukan sekadar fantasi!

Hilang Dalam Terang


Semenjak tiba di Malaysia saya gagal menyusun masa untuk menulis. Saya kagum dengan penulis-penulis sama ada di blog atau mana-mana ruang penulisan yang begitu konsisten menulis. Ironinya, saya cukup berbeza. Sekembalinya dari London, program yang disusun dani tersusun tanpa sedar telah mengalih tumpuan saya pada Ramadhan yang pada tika saya tulis entri ini hanya tinggal dalam kurang 24 jam. Juga saya amat sedikit memberikan masa untuk keluarga, walau masih tidak berkeluarga sendiri namun ibu saya selalu saya tinggalkan tanpa layanan.


Pernah saya katakan, kadangkala London yang sebegitu pesat dalam kemodenannya dan kalut kehidupannya, saya temui ketenangan seketika disebalik jadual kelas di SOAS. Tetapi, manusia apabila hilangnya kenikmatan seketika yang mana dirasakan tiada makna akan kembali meraba dimana mahu digapai masa yang terluang, sihat yang hilang dan hidup yang tenang. Benarlah ketika Nabi SAW mengungkapkan hakikat hidup ini mengenai dua nikmat yang selalu dipandang sepi ketika dinikmati tetapi semasa hilang disesali. Kata baginda SAW:
نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ) [رواه البخاري]
Maksudnya: "Dua nikmat yang selalu diabaikan oleh kebanyakkan manusia: nikmat sihat dan lapang (masa). (riwayat al-Bukhari) 
Benarlah, tiada mereka yang paling menikmati kenikmatan sihat tubuh badan melainkan mereka yang diuji musibah sakit. Begitu juga nikmat lapangnya hidup tidak dirasai melainkan bagi mereka yang selalu mengadu mereka tiada masa untuk itu dan ini.