Monday 23 July 2012

Berpuasa dan Anda di Perantauan

Alhamdulillah, ini hari ke-4 berpuasa di UK dan juga kali pertama berpengalaman puasa di rantau orang. Setelah berbelas tahun hidup sebagai orang biasa di kampung, sebagai orang cukup biasa, tahun ini peluang berpuasa di London amat mengujakan. Ketika artikel ini ditulis penulis sedang bersandar dan melepak di bilik seorang guru dan rakan di Broad Street, Oxford.  Namun benarlah, apabila musafir itu amat mampu menjarakkan pandangan dan meluaskan ruang gaya berfikir juga menambahkan pengalaman.  Berbuka puasa dan bertarawih ditempat 'mat saleh' terasa segar menghadapi Ramadhan. Secara terus terang saya katakan, saya tenang. Walaupun puasa disini kami mulakan seawal 3.21 pagi dan terbenam matahari pada 9.07 malam, saya tetap merasakan kepuasan ber-Ramadhan di tanah Queen ini. 18 jam berpuasa yang amat panjang berbanding Malaysia, dan Musim Panas yang baru sahaja menjengah di UK, segalanya baru. Alhamdulillah. Semalam, pengalaman bertarawih bersama rakan-rakan di bangunan baru Masjid Islamic Centre, Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) dengan kepelbagaian manusia dan ragam, imam yang mengkhusyukkan membuatkan saya tenggelam dalam kehadiran Ramadhan, bulan al-Quran dan rahmat. 

Pengampunan dalam Ramadhan
Dalam banyak hadith-hadith yang diulangi oleh para penceramah akan besarnya Ramadhan dan kelebihan-kelebihan yang begitu serba serbi, namun persoalan yang terakhir, adakah kita bersedia menyambut seruan pengampunan ilahi itu? Banyaknya ingatan tanpa menyediakan jiwa dan hati yang bersedia menadah pengampunan dan menyematkan dalam hati sebagai asas kepada subjek utama perjalanan tahunan Ramadhan ini, sesungguhnya kebanyakan daripada kita tewas. Kita gagal apabila pesta makanan yang tidak pernah disaksikan sepanjang tahun di Malaysia melebihi saf-saf yang tetap di masjid dan tempat berjemaah, kita kecundang menghadiri majlis-majlis berbuka puasa yang kadang kala melampau sehingga melupakan malam-malam Ramadhan yang berlalu dan kita terus menerus begitu. Maka, wahai hati yang sentiasa leka kepada ingatan Tuhanmu, ingatlah. Wahai mata yang kekeringan menangis sebagai teman munajatmu diwaktu malam, tangislah. Wahai lidah yang kelu membaca ayat Tuhanmu, bacalah.  Semoga doa, istighfar dan munajat kita didalam Ramadhan tiadalah ia sia-sia melainkan Allah memenuhi keperluanmu, mengampunkan salah silapmu dan menempatkanmu dan kita didalam syurga yang dipenuhi kenikmatan dan kebaikan.
 اللهم انك عفو تحب العفو فاعف عني

Monday 16 July 2012

Hati Berjiwa Hamba


Ramai manusia yang banyak berbuku persoalan dan sangkaan. Keadaan ini tidak berlaku melainkan seseorang itu dalam masalah menanggung bebanan jiwa atau material. Ia juga berlaku bagi mereka yang tersepit dalam mencari ketenangan dan kebenaran. Namun, manusia kebanyakannya akan ligat berfikir dan menyoal ketika ditimpa masalah yang menolaknya ke sudut kehidupan yang gagal baginya untuk mencari jalan keluar. Ketika jiwa lelah memikirkan masalah, akal gagal merasionalkan keadaan, mereka terlajak kata menyalahkan Tuhan Rabb al-Izzah. Benarlah firman-Nya:

فَأَمَّا الإِنسَانُ إِذَا مَا ابْتَلاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ
وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ
Maksud:
(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhanku telah memuliakan daku!”
Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghinakan daku!”
(Surah alFajr:15-16)

Kita yang telah terlalu banyak menikmati setiap satu rezeki dan kurniaan Allah gagal mengawal diri apabila diuji dan sudah pun lupa perkataan SABAR yang selalu diulang dan dizikirkan. Ketika itu kita tewas.
Dalam sebuah hadith, Anas ibn Malik R.A. menceritakan bahawa berlaku pada satu hari seorang ibu menangis mengenangkan kematian anak kesayangannya. Rasulullah S.A.W. yang lalu disebelahnya menasihati agar bersabar dan bertakwa kepada Allah S.W.T. Lantas si ibu yang tidak perasan akan kedatangan Nabi S.A.W. (yang menasihatinya) menjawab: "engkau tidak merasai apa yang menimpaku". Selepas Nabi S.A.W. pergi, dikatakan padanya yang menasihatinya tadi itu adalah Rasulullah S.A.W., menyebabkan dia terus bergegas ingin memohon maaf diatas kata-katanya kerana kesedihan yang melampau. Ketika dia berjaya menemui Nabi S.A.W., baginda menyatakan:
إنما الصبر عند أوّل صدمة
"Sesungguhnya yang dikatakan sabar itu adalah pada detik-detik awal (berlakunya musibah). Muttafaqun A'laih

Tidak kurang sikit apabila manusia yang seakan putus harapan kepada Tuhannya akan seraya menyoal: “apa salahku sehingga Allah lakukan sebegini padaku”, “mengapa Allah seakan kejam terhadapku?” Setiap satu daripada kita (sudah pasti penulis tidak terkecuali) pernah merasai atau melalui keadaan ketika dialog ini diluah rasakan.
  
Ujian & Sabar
Menjadi dua perkataan yang amat tipikal dituturkan oleh mulut dan dilafazkan oleh kata kepada sesiapa sahaja ditimpa ujian atau musibah. Kita mungkin murah menasihati orang lain walaupun kita gagal memujuk hati mengahadam kata-kata ini ketika dilanda seribu macam dugaan. Kata-kata tadi untuk difahami ketika makan yang cukup, tidur yang nyenyak, gaji yang besar dan senyum yang panjang mungkin agak payah. Namun, apabila manusia dijanjikan ujian yang datang bertalu-talu maka pada waktu ketika jiwa yang lupa akan teringatkan Allah, lidah kering akan dibasahi permohonan ke langit dan dahi yang tidak mengenal bumi akan sentiasa terlekat padanya mencari satu harapan. Harapan yang satu-satunya hadir dalam ingat atau lupa padanya adalah Allah, Tuhanmu yang Amat Baik.
Ironi ujian pada pemahaman manusia adalah sungguh sempit. Yang menguji adalah membenci aku, dan aku dibenci kerana sesuatu. Agar setiap yang merasa terbeban dengan serba serbi ujian yang ada, janganlah anda dan kita berputus asa dengan rahmat tuhan yang luas!

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.(al-Zumar:53)



Thursday 12 July 2012

Permulaan Pertama

Perlukah seseorang itu menulis?
Mengapa ada yang begitu tegar menulis dan update penulisan mereka secara konsisten?
Kepuasan? 
Hobi?
Atau suatu yang tidak mampu diberikan alasan?

Saya seorang bukan pemilik bakat menulis yang hebat. Itu satu hakikat yang saya sendiri akui. Namun, sekian lama orang orang tanyakan dimana mereka boleh dapatkan pandangan dan idea-idea saya. Ironinya, saya bukan penulis konsisten dan bukan pemilik idea yang hebat. Namun  secara konsisten saya adalah pembaca kepada blog-blog orang hebat. Walau bagaimanapun, saya tidak dapat nafikan betapa saya ingin hebat menulis seperti mereka. Saya pernah menulis, kawan saya memberikan komen: 'you wrote just like you speak! I even can potrey you talk at the paper or screen'. Saya sekadar melontarkan senyuman sambil ligat berfikir bagaimana untuk memperbaiki gaya penulisan saya. Saya lihat seorang rakan saya, cukup biasa, bercakapnya gaya biasa, lagaknya budak biasa namun tulisannya saya kagumi, ala novelis. Ada orang kata, ada orang boleh bercakap, namun menulis dia tidak pantas, juga sebaliknya. Tidak dinafikan, selain dua karakter tersebut, ada yang diberikan kelebihan petah menyusun kata dibibir begitu juga di pena. Saya menulis entri ini ketika saya duduk didalam Underground, Jubilee Line di London. Di London saya seringkali tanpa jemu diminta oleh seorang rakan yang amat rapat supaya saya menulis.
Ketika melangkah berseorang di Paddington untuk pulang kerumah saya di South East London, saya bertanya pada diri, "apa aku patut tulis? artikel agama? Fakta yang akan 'mengenyangkan' sebahagian pihak, 'membosankan' yang lain? Saya tiada jawapan. Bagi saya secara prinsipnya, "saya mahu menulis apa yang saya rasakan perlu tetapi bukan sekadar syok sendiri tanpa manfaat". Moga usaha penulisan ini mampu saya kongsi apa yang saya fikirkan dalam topik yang lebih luas.Mohon sokongan dan bantuan idea. Insyaallah.