Alhamdulillah, ini hari ke-4 berpuasa di UK dan juga kali pertama berpengalaman puasa di rantau orang. Setelah berbelas tahun hidup sebagai orang biasa di kampung, sebagai orang cukup biasa, tahun ini peluang berpuasa di London amat mengujakan. Ketika artikel ini ditulis penulis sedang bersandar dan melepak di bilik seorang guru dan rakan di Broad Street, Oxford. Namun benarlah, apabila musafir itu amat mampu menjarakkan pandangan dan meluaskan ruang gaya berfikir juga menambahkan pengalaman.
Berbuka puasa dan bertarawih ditempat 'mat saleh' terasa segar menghadapi Ramadhan. Secara terus terang saya katakan, saya tenang. Walaupun puasa disini kami mulakan seawal 3.21 pagi dan terbenam matahari pada 9.07 malam, saya tetap merasakan kepuasan ber-Ramadhan di tanah Queen ini. 18 jam berpuasa yang amat panjang berbanding Malaysia, dan Musim Panas yang baru sahaja menjengah di UK, segalanya baru. Alhamdulillah.
Semalam, pengalaman bertarawih bersama rakan-rakan di bangunan baru Masjid Islamic Centre, Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) dengan kepelbagaian manusia dan ragam, imam yang mengkhusyukkan membuatkan saya tenggelam dalam kehadiran Ramadhan, bulan al-Quran dan rahmat.
Pengampunan dalam Ramadhan
Dalam banyak hadith-hadith yang diulangi oleh para penceramah akan besarnya Ramadhan dan kelebihan-kelebihan yang begitu serba serbi, namun persoalan yang terakhir, adakah kita bersedia menyambut seruan pengampunan ilahi itu? Banyaknya ingatan tanpa menyediakan jiwa dan hati yang bersedia menadah pengampunan dan menyematkan dalam hati sebagai asas kepada subjek utama perjalanan tahunan Ramadhan ini, sesungguhnya kebanyakan daripada kita tewas. Kita gagal apabila pesta makanan yang tidak pernah disaksikan sepanjang tahun di Malaysia melebihi saf-saf yang tetap di masjid dan tempat berjemaah, kita kecundang menghadiri majlis-majlis berbuka puasa yang kadang kala melampau sehingga melupakan malam-malam Ramadhan yang berlalu dan kita terus menerus begitu.
Maka, wahai hati yang sentiasa leka kepada ingatan Tuhanmu, ingatlah. Wahai mata yang kekeringan menangis sebagai teman munajatmu diwaktu malam, tangislah. Wahai lidah yang kelu membaca ayat Tuhanmu, bacalah.
Semoga doa, istighfar dan munajat kita didalam Ramadhan tiadalah ia sia-sia melainkan Allah memenuhi keperluanmu, mengampunkan salah silapmu dan menempatkanmu dan kita didalam syurga yang dipenuhi kenikmatan dan kebaikan.
اللهم انك عفو تحب العفو فاعف عني