Monday, 16 July 2012

Hati Berjiwa Hamba


Ramai manusia yang banyak berbuku persoalan dan sangkaan. Keadaan ini tidak berlaku melainkan seseorang itu dalam masalah menanggung bebanan jiwa atau material. Ia juga berlaku bagi mereka yang tersepit dalam mencari ketenangan dan kebenaran. Namun, manusia kebanyakannya akan ligat berfikir dan menyoal ketika ditimpa masalah yang menolaknya ke sudut kehidupan yang gagal baginya untuk mencari jalan keluar. Ketika jiwa lelah memikirkan masalah, akal gagal merasionalkan keadaan, mereka terlajak kata menyalahkan Tuhan Rabb al-Izzah. Benarlah firman-Nya:

فَأَمَّا الإِنسَانُ إِذَا مَا ابْتَلاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ
وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ
Maksud:
(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: “Tuhanku telah memuliakan daku!”
Dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: “Tuhanku telah menghinakan daku!”
(Surah alFajr:15-16)

Kita yang telah terlalu banyak menikmati setiap satu rezeki dan kurniaan Allah gagal mengawal diri apabila diuji dan sudah pun lupa perkataan SABAR yang selalu diulang dan dizikirkan. Ketika itu kita tewas.
Dalam sebuah hadith, Anas ibn Malik R.A. menceritakan bahawa berlaku pada satu hari seorang ibu menangis mengenangkan kematian anak kesayangannya. Rasulullah S.A.W. yang lalu disebelahnya menasihati agar bersabar dan bertakwa kepada Allah S.W.T. Lantas si ibu yang tidak perasan akan kedatangan Nabi S.A.W. (yang menasihatinya) menjawab: "engkau tidak merasai apa yang menimpaku". Selepas Nabi S.A.W. pergi, dikatakan padanya yang menasihatinya tadi itu adalah Rasulullah S.A.W., menyebabkan dia terus bergegas ingin memohon maaf diatas kata-katanya kerana kesedihan yang melampau. Ketika dia berjaya menemui Nabi S.A.W., baginda menyatakan:
إنما الصبر عند أوّل صدمة
"Sesungguhnya yang dikatakan sabar itu adalah pada detik-detik awal (berlakunya musibah). Muttafaqun A'laih

Tidak kurang sikit apabila manusia yang seakan putus harapan kepada Tuhannya akan seraya menyoal: “apa salahku sehingga Allah lakukan sebegini padaku”, “mengapa Allah seakan kejam terhadapku?” Setiap satu daripada kita (sudah pasti penulis tidak terkecuali) pernah merasai atau melalui keadaan ketika dialog ini diluah rasakan.
  
Ujian & Sabar
Menjadi dua perkataan yang amat tipikal dituturkan oleh mulut dan dilafazkan oleh kata kepada sesiapa sahaja ditimpa ujian atau musibah. Kita mungkin murah menasihati orang lain walaupun kita gagal memujuk hati mengahadam kata-kata ini ketika dilanda seribu macam dugaan. Kata-kata tadi untuk difahami ketika makan yang cukup, tidur yang nyenyak, gaji yang besar dan senyum yang panjang mungkin agak payah. Namun, apabila manusia dijanjikan ujian yang datang bertalu-talu maka pada waktu ketika jiwa yang lupa akan teringatkan Allah, lidah kering akan dibasahi permohonan ke langit dan dahi yang tidak mengenal bumi akan sentiasa terlekat padanya mencari satu harapan. Harapan yang satu-satunya hadir dalam ingat atau lupa padanya adalah Allah, Tuhanmu yang Amat Baik.
Ironi ujian pada pemahaman manusia adalah sungguh sempit. Yang menguji adalah membenci aku, dan aku dibenci kerana sesuatu. Agar setiap yang merasa terbeban dengan serba serbi ujian yang ada, janganlah anda dan kita berputus asa dengan rahmat tuhan yang luas!

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.(al-Zumar:53)



No comments:

Post a Comment