(ii)
Lain pula kisahnya apabila kita ingin berbicara tentang satu perikatan moden
parti politik yang cukup dinamik, Pakatan Rakyat. Sejarahnya berwarna warni,
naik turun bersandarkan isu dan kesefahaman. Lahir dari semangat yang satu,
menjatuhkan kerajaan BN, menguburkan kezaliman dan berbagai slogannya. Ia cukup
menarik apabila ia bersatu dari latar faham politik yang cukup berbeza. Malah
perbezaan ini telah memecahkan mereka pada PRU-2004 yang menyaksikan pimpinan
Tun Abdullah Ahmad Badawi menerima ‘kredit politik’ yang cukup tinggi.
PKR-PAS-DAP, siapa yang tidak mengenali akar perjuangan mereka, nampak ia utuh,
tapi bila-bila sahaja boleh meletus kerana fundemantel perjuangan setiap satu
amat berbeza. Mungkin ada yang tidak setuju kerana anggapannya adalah mereka
memperjuangkan titik noktah yang sama iaitu keadilan, kesaksamaan, transparensi
dan apa sahaja kamus demokrat moden. Hakikatnya definisi keadilan dan agama
amat berbeza. PKR, sebuah parti moden, campuran bangsa/agama yang bertunjangkan
faham moden agama yang tidak mungkin seseorang mampu menyimpulkan dalam sepatah
perkataan. Sekular kah ia? Liberal kah ia? Mungkin Islamist Moden? Saya katakan
payah kerana definisi liberal dan sekular yang dipopularkan oleh ‘ustaz-ustaz’
politik Malaysia (khususnya PAS) adalah amat pelik! Sebab itu PAS dilihat satu
masa amat ‘fundemantalist, puritan’ kerana bukan sahaja ‘tegas/keras’ malah
slogan mereka yang ditonjolkan adalah hudud/Negara Islam. DAP pelengkap kepada
3 campuran parti politik yang istimewa ini. Tunjang sosialisme dan
profesionalisme mencerminkan parti ini. PAS dan DAP seringkali dilihat tidak
sekata terutama dalam isu-isu berkaitan prinsip Islam, yang PAS tegaskan sebagai
tiada tolak ansur. Disini peranan PKR, yang lebih spesifik Dato’ Seri Anwar
Ibrahim, mengayam kata, membelit lidah untuk meredakan ketegangan antara
mereka.
Maka,
adakah mereka sebuah parti alternatif untuk masalah-masalah BN/UMNO seperti
entri yang lalu? Saya boleh katakan: Ya dan Tidak. Saya katakan, Ya,
kerana sekiranya PR boleh menawan
Putrajaya, ia akan memberikan dua impak secara serentak. Pertama, BN akan melalui transformasi sebenar bukan sekadar luaran
yang palsu. Perangai sesetengah pemimpin UMNO yang amat jelek dengan pengamalan
rasuah yang tidak terbendung dan diamalkan dihampir semua peringkat dapat
dirubah. Bukan sahaja ketua-ketua cawangan atau bahagian terduduk, malah
pegawai-pegawai kerajaan di kaunter-kaunter premis kerajaan akan terhangguk.
Kisah dipaksa, diminta dan terpaksa memberikan pelicin kerja bukan sesuatu yang
baru, malah ia tidak langsung boleh diperbuat apa-apa dibeberapa peringkat.
Malah, melalui kejatuhan UMNO, ia akan bangkit sekali lagi dengan lebih kuat
sebagai pesaing kepada PR dalam padang yang lapang dan rata untuk bersaing. Ia
mungkin dapat dilihat seperti nasib GOLKAR di Indonesia. Kedua, kerajaan PR akan bertemu ruas sebenar pemerintahan pusat.
Kita akan menilai mereka dengan janji-janji ‘bulan bintang’ yang ditaburkan.
Kalau mereka berjaya untuk penggal pertama, mereka mampu kekal untuk 50 tahun
lagi, mereka gagal, mereka akan terpaksa bertatih kembali. Hari ini, PR nampak
cukup kukuh kerana isu yang mereka bawa amat signifikan dan menyentuh rakyat.
Setiap satu salah kerajaan mereka akan kupas dan siat sehingga yang kudis
dilihat barah.
Kalau
jawapan Tidak pula, ia kerana isu peribadi beberapa pemimpin utama PR dan ‘track
record’ sebilangan pemimpin PR di Perak dan Selangor, setelah mengambil
kerajaan, lagaknya seakan mirip UMNO-BN juga.
Namun,
apa yang membuatkan saya lebih tertarik adalah PAS sebagai tunjang parti yang
ber’perlembagaan’kan Islam perlu lebih matang. PAS ada potensi besar menjadi
parti pemerintah yang mampu menjadi sehebat AKP di Turki, Ikhwanul Muslimin
(IM) di Mesir dan seangkatannya. PAS sangat dihormati kerana pendiriannya yang
cukup kukuh untuk menegakkan Islam. Namun PAS secara spesifik telah berlaku
transformasi yang mana hari ini telah mempertembungkan tiga kelompok yang saya
labelkan sebagai moderat Islam, klasik/ortodoks Islam dan Syiah. Ia sangat
berkait dengan cara pembawakan agama didalam medan politik. Saya katakana, ia
disebabkan antaranya adalah kerana majoriti Melayu Muslim di Malaysia amat
jumud menilai agama hanya dari cara berpakaian. Kalau seorang ‘Encik’ yang
pencen sebagai pegawai bank, kemudian selepas bersara, rajinnya ke
masjid/surau, diletakkan dikepala kopiah atau pun serban, maka bertukarlah
‘encik’ kepada ‘ustaz’. Beberapa lama selepas itu, dari ‘ustaz’ kepada ‘ulama’
dan seterusnya. Bukan saya hinakan mereka kearah kebaikan, tetapi bagaimana
orang kita menilai mereka cukup ‘simple’ untuk dilekatkan panggilan tokoh
agama. Walaupun, kuliah dan ceramah bercampur baur ayat suci Kalam Ilahi dan
maki hamun, dia tetaplah dilonggokkan dalam kelompok agung “ulama’ rabbani”
maka maki hamunnya akan dipejamkan.
Seterusnya,
buat PAS, adakah wajib dan perlu pemimpin/presiden mesti “ustaz-ustaz”?
Tidaklah menjadi masalah sekiranya ustaz/tokoh agama itu seorang yang cukup
dinamik dengan pengetahuan yang menyeluruh akan dunia luar dan agama, maka dia
adalah amat terpilih. Namun, hakikat parti itu berbeza. Ia kekurangan orang
seperti ini. Saya secara peribadi dengan menghormati ketokohan dalam agam Dato
Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, namun beliau tidak lah se-dinamik Dato Tuan Guru Nik Abd Aziz. Ia suatu yang
jelas. Presiden PAS gagal membincangkan secara terbuka polisi apa yang ingin
dilaksanakan. Kita tahu, mereka ingin menjadikan negara ini sebagai negara
berkebajikan, tiada rasuah dan macam-macam lagi. Itu pun yang akan dijawab UMNO
kalau ditanya. Tetapi apakah model sebenar. Dalam hal ini, PKR dan DAP telah
pun melangkah jauh kehadapan. Mereka membentang idea yang banyak. Rafizi dalam
PKR telah mengubah landskap politik PKR dari ‘sibuk’ membantu de-facto nya yang
bermacam isu peribadi kepada fakta dan angka ekonomi dan politik baru. Debat
dan bentang idea yang cukup menarik. Begitu jua Tony Pua dalam DAP, mereka berkongsi aspirasi.
Adakah PAS tiada? Ya, PAS mempunyai Dr. Dzulkifli Ahmad dan lain-lain. Namun,
dimanakah mereka dalam merangka perjalanan parti? Adakah mereka diberikan ruang
yang tinggi sehingga ke jawatan-jawatan pembuat dasar? Di peringkat negeri pun
mereka gagal diberi tempat. Bagi saya, sejahat-jahat orang PAS, dia tidak makan
rasuah, mereka terdidik baik. Cuma, apabila mereka gagal memilih tokoh yang
terbaik, mereka akan hancur. Itu yang terjadi kepada Terengganu dahulu.
Selangor hari ini tidak menobatkan Azmin Ali sebagai Menteri Besar, tetapi
tokoh pengurusan yang cekap, Tan Sri Abd. Khalid Ibrahim. Selangor terkehadapan
jauh dengan kemodenan yang sudah sedia ada wujud. Ustaz atau bukan, ia bukanlah
satu isu memimpin PAS. PAS janganlah lagi terbuai dengan semua itu. Ke-ustaz-an
seseorang adalah untuk dirinya sendiri, tetapi kelemahan pengurusan ustaz
tersebut akan membinasakan parti dan negeri/a yang dipimpinnya. Saya tidaklah
pasti PAS mahu disamakan dengan IM Mesir atau tidak. Tetapi, kisah dan
ketokohan IM selalu saja diulang-ulang oleh mereka.
PAS juga
tidak mampu menafikan, sama ada ia berskala kecil atau besar, namun hakikat
Syiah sudah bersarang tidak mampu
disangkal. Tanpa memberikan nama secara ‘detail’, Timbalan Presiden PAS, Mohd.
Sabu mampu disebut sebagai ikon Syiah yang tiada hijabnya lagi. Tindakan paling
biadap yang dilakukan oleh beliau apabila pergi bersemuka dengan menteri kanan
Basyar Assad dan membuat kenyataan bahawa ia sekadar gembar gembur media dan
hanyalah salah faham. Sehingga ke saat ini, PAS masih lagi berkunci mulut tanpa
berani mengutuk perbuatan Timbalan Presidennya. Tidakkah beliau telah melanggar
prinsip jamaah anda? Atau ketika perkara ini berlaku di pihak UMNO, ia isu
prinsip tetapi sekiranya salah jelas Mat Sabu buat hanyalah pendirian peribadi?
Kalau saya boleh pinjam perkataan pemidato-pemidato anda selalu, ia adalah
pendirian MUNAFIQ! Dengan senang sekali Hanipa Maidin boleh memuji puja
Khomeini yang jelas mengkafirkan Amir al-Mu’minin Umar ibn al-Khattab dihalaman
lidah rasmi HARAKAH. Dimana maruahmu lagi PAS?! Ya, saya tahu anda akan kata,
perjuangan perkara lebih besar, iaitu pemerintahan lebih utama. Takkanlah isu
akidah lebih remeh berbanding politik pemerintahan anda?!
Oleh
yang demikian, kelompok-kelompok yang matang dan segar seperti Dr. Mujahid Rawa
dan rakan-rakannya sewajarnya diberikan tempat oleh PAS dan penyokongnya
sendiri. Tulisan ini bukanlah bermaksud, UMNO lebih baik, tetapi dalam mana PAS
ingin jadi alternatif, janganlah pula PAS menjadi dua kali lima, kerana PAS
meletakkan Islam sebagai dasar. Islam bukan sahaja diantara hudud dan undi
tetapi ia juga konsistensi, profesionalisme dan transperansi. PAS perlu juga
berubah dengan membuang parasit-parasit Syiah dan kejumudan yang wujud sekian
lama. Inilah luahan graduan agama yang mahu melihat parti Islam Malaysia tidak
disebut dalam sejarah sebagai gerakan kartun dan tidak kompetitif.