Monday, 3 December 2012

Ketika aku sedang ingin berbicara (1)


Saya kembali semula ke London, menyambung pengajian, tiada satu tulisan pun mampu dikarang. Apa yang satu takuti, konsisten, memang benar-benar terjadi. Kadang kala ia bukanlah sibuk sehingga tidak mampu menggerakkan jari menari diatas papan keyboard, tetapi buntu dan ada sahaja yang menyesakkan minda.
Namun, setelah tiap minggu diasak dengan soalan, saya gagahi mencoret ayat dibalik kesejukan membeku kota ini. Soalan yang tidak lari berbentuk politik dan ‘kemeriahannya’ yang sedang berlangsung di Malaysia. Walau bagaimana pun, Alhamdulillah, soalan agama lebih dari politik untuk dibincangkan. Letih dan muak, dua perkataan untuk disimpulkan apa yang berlaku di Malaysia.

Politik dan Malaysia
Saya ingin berbicara buat rakan-rakan politik dan peminatnya.  Ingin saya katakan, duduk di luar Malaysia, keterlibatan yang minimum dalam urusan politik, walau kita tidaklah pengamal aktif politik, adalah lebih tenang dan aman. Memerhati jauh apa yang berlaku di tanah air yang tidak mungkin lari dari kerinduan padanya. Keluarga tercinta dan orang disayangi menetap jauh dimata tidak dihati. Namun, ketika orang politik dan yang galak politik berkelahi, kita tidak ditarik masuk kerana kita jauh. Secara fakta, ia tenang kerana cara orang di United Kingdom(UK) berpolitik adalah matang dan masak untuk dibanding beza dengan kita. Tiada gula-gula politik atau tiada kes salah guna kuasa yang didiamkan antara rakan politik. Ia terbuka dan tiada tersembunyi dari raja hingga ke rakyat biasa. Politik mereka tidak pelik dan jelek, mereka berdebat apa yang terbaik buat negara dengan membentang idea dan penyelesaian. Politik kita melihat apa yang diatas tetapi tiada yang peduli apa yang dibawah. Orang politik berbicara apa yang boleh membantu mereka mendapat tambahan sokongan walau ia lekeh dari segi prinsip. Sudahlah yang ada terpalit sungguh banyak isu prinsip, keadilan dan macam-macam yang melenguhkan rahang bila diumpat seperti UMNO dan rakan-rakan BN nya. Tidak lah untuk dilihat apa yang berlaku pada pakatan pembangkang sebagai satu-satunya perjuangan alternatif yang pasti penyelesaian buat masalah yang ditimbulkan.
Saya mungkin mesra pada sesetengah orang politik, tapi ia tidak membuatkan saya memberikan sokongan tanpa usul periksa.
Persoalan saya, mengapa kita terlalu sombong untuk belajar dari orang luar? Adakah kafir sangat barat sehingga prinsip ketelusan yang mereka amalkan pun dipandang bagaikan najis? Adakah sistem ‘Islam’ yang kita perjuangkan lebih suci walau ia dipenuhi janji-janji palsu dan retorik?

(i)
UMNO telah lama bertapak bahkan memerintah Malaysia. UMNO tidak dinafikan telah berjaya mematri perasaan jiwa bangsa Melayu bagi sebahagian besar masyarakat Melayu lama yang hidup semasa awal ia memerintah dan membangun Malaysia. Dalam waktu yang sama, pembangkang yang ada punyai peranan dalam mewarna politik dan arah tuju negara. Ia telah memahat sesuatu yang baik untuk Malaysia. Pergilah kemana sahaja pelusuk dunia, sama ada dunia barat atau Islam, Malaysia dikatakan telah berdiri pada kelasnya tersendiri ketika negara lain khususnya dunia Islam masih mencari-cari formula pembangunan yang strategik. Mesir dengan ketidakstabilannya, Libya dengan porak perandanya, belum lagi yang masih dicengkam monarki atau anarki zalim menindas rakyat sendiri. Malaysia dilihat telah jauh kehadapan. Tetapi, saya suka katakan selepas pujian meleret ini disua, “kami di Malaysia mampu pergi lebih baik dari yang ada”. Disamping kita bersyukur pada Allah apa yang kita capai, walaupun begitu apabila kita halusi urusan domestik negara, kita sahaja tahu, dimana kita. Adakah disamping kejayaan yang dicanang, maka kesalahan janganlah kita sembangkan?
Janganlah begitu rakanku di pihak kerajaan. Akuilah, banyak sungguh masalah dalam pengurusan kerajaan yang perlu anda bersungguh untuk turun dan selesaikan. Tidakkah anda pernah tertanya apa yang kami rasa sebagai rakyat marhaen yang berurusan di kaunter kerajaan apabila wujud pegawai bawahan biasa seakan warlord di tempat mereka? Pegawai agama pun terpalit sama bagaikan pemegang kuasa tanpa hadnya? Mengguna dana awam bagaikan hak ‘ibu bapa’ tanpa malu? Sedangkan duit kami pembayar cukai dipulas sampai nak lesu? Inilah punca rakyat bangkit menunjukkan rasa jemu atas apa sahaja salah laku. Jangan terbeliak ketika mereka membuat keputusan dalam PRU!
Saya hairan terhadap kelompok yang sungguh-sungguh nak ambil apa sahaja projek dan khazanah kerajaan untuk makanan seisi rumah. Sudahlah dibolot bersih, buat kerja pun tidak mahu. Tidakkah kita pelik, kalau pun ingin disapu projek tersebut, sekurang-kurangnya selesaikanlah kerja-kerja yang sepatutnya. Isu NFC sebagai contoh bagaimana salah laku ini diterjemahkan. Rakyat mungkin tidak marah apabila NFC sendiri mampu diurus dengan penuh disiplin. Bagaimanakah pinjaman dari pihak kerajaan (baca: duit tax payer) digunakan untuk membeli hartanah dan macam-macam lagi yang tidak termasuk terma pinjaman? Saya tidaklah bersetuju dengan pemberian kontrak itu, saya lebih suka ketelusan, namun apabila sudah diberi mengapa ingin dikhianati? Belum lagi isu agama yang didendangkan sesetengah tokoh muda yang cukup bagus namun gagal menghadam realiti politik baru. Ketika dunia kearah keterbukaan dan politik aspirasi baru, dibuai lah pula bagaimana sebuah kerajaan itu ‘dijanjikan ruang kemaksuman’ disokong dalil dan penghujahan agama. Pemerintah tidak boleh dikritik dikhayalak ramai walau isu rakyat jelata, mesti dipegang hulur tangan dek kerana bejatnya idea mengaitkan antara nas agama dan realiti berpiak dibumi nyata. Apa yang saya cukup bimbang, mereka akan kempen kearah penghapusan sistem demokrasi dan sebahagian pihak bergelek tari kuasa dikekal dan orang agama pengawal. Inilah yang merosak agama dan menghancur negara.
Cadangan saya, dalam sistem yang terbentuk dalam UMNO hari ini sebagai parti tunggak pemerintahan, ia perlukan perubahan yang sebenar bukan sahaja laungan di media atau perhimpunan agung. Berani merubah pimpinan anda. Sudah-sudahlah yang duduk dikerusi menteri yang sudah lebih puluhan tahun. Kalau sumbangan nya banyak tidak lah mengapa, bercakap pun teks terpaksa disedia, update FB atau Twitter jauh sekaliPolitik belasah lawan wajib ditinggalkan berbandingkan politik buat kerja dan membuktikan sesuatu yang mampu dirasai oleh rakyat. Kutuk, hasut dan maki tidak akan kemana melainkan anda telah memenuhi apa yang dikehendaki oleh rakyat sejajar apa yang diingini oleh mereka. Rakyat berkira makan dan pakai, rumah dan kenderaan tidak semurah menteri yang percuma serbi satu kemudian anda tergamak berbicara rakyat perlu bersama berjimat untuk negara? Memerintah dengan hidup seorang rakyat biasa bukan berbicara tentang kemiskinan namun duduk diatas kerusi empuk harga gaji sebulan si anak desa. Ini bukan coretan seorang yang anti-pemerintah atau pro-pembangkang, tetapi luahan si anak kampung yang ingin seketika kepada engkau untuk berbicara.

No comments:

Post a Comment