Friday, 17 January 2014

Maulid al-Rasul: fakta dan nilai manusiawi yang hilang (Sinar Harian, 17 January 2013)

Tiap kali menjengah masuk bulan ke-3 Islam, Rabi’ al-Awwal, maka bermula pesta bercorak keagamaan bagi menanti hari ke-12 bulan ini, kerana itulah yang terkenal sebagai tarikh dan hari kelahiran Nabi S.A.W. Selain ia menjadi tumpuan orang awam dalam hal sambutannya, tidak kurang hebatnya perkara ini menjadi perbincangan hangat dikalangan sarjana dan pelajar ilmu dalam menentukan tarikh sebenar kelahiran baginda. Ironinya, walaupun ia tidak sahaja menjadi perdebatan tatkala tarikh itu makin mendekati, bahkan sepanjang tahun, ia tetap menjadi persoalan yang akan sentiasa ditimbulkan. Walaupun ia adalah tarikh yang telah diterima dan dimaklumi umum, namun mungkin ramai masih tidak mengetahui tarikh 12 Rabi’ al-Awwal berkemungkinan bukanlah pandangan yang terkuat dalam masalah ini.

Tarikh yang diperdebatkan
Didalam Kutub al-Sittah (6 kitab utama hadith) tiada satu pun riwayat dengan jelas menyebutkan tarikh kelahiran baginda SAW melainkan pada hari Isnin. Ia adalah hadith yang mana Abu Qatadah meriwayatkan pertanyaan seorang Badwi berkenaan puasa pada hari Isnin. Baginda menjawab: “Ia adalah hari aku dilahirkan dan kali pertama wahyu diturunkan”. (Muslim)
Ibn Kathir (w.774), tokoh sejarawan Islam telah menyenaraikan pandangan-pandangan yang berbeza ini. Beliau menulis bahawa majoriti sarjana Islam percaya bahawa baginda dilahirkan pada bulan Rabi’ al-Awwal namun berbeza pada tarikh sebenar. Antara perbezaan pandangan tersebut adalah: 
2 Rabi’ al-Awwal [al-Sindi (w.171), Ibn Abd al-Barr (w.463) dan al-Waqidi (w.207)], 8 Rabi’ al-Awwal [Ibn Hazm (w.456), riwayat Malik (w.179) dari al-Zuhri (w.128) dan Ibn Dihyah (w.610)], 10 Rabi’ al-Awwal [riwayat Ibn ‘Asakir (w.571) dari Abu Ja’far al-Baqir (w.114), al-Sha’bi (w.100) dan al-Waqidi (w.207)], 12 Rabi’ al-Awwal dan tarikh paling terkenal [Ibn Ishaq (w.150)], 17 Rabi’ al-Awwal, 22 Rabi’ al-Awwal, bulan Ramadhan tanpa spesifik tarikh [Zubair al-Bakkar (w.256)] dan 12 Ramadhan [diriwayatkan oleh Ibn ‘Asakir)]. (Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah. Jil.1-2 m/s: 647-649. Mansurah: Maktabah al-Iman)

Bagi penulis sirah kontemporari seperti Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri di dalam al-Rahiq al-Makhtum, beliau memilih 9 Rabi’ al-Awwal sebagai tarikh tersebut berdasarkan kiraan Muhammad Sulaiman al-Mansur dan Mahmud Basha. (Lihat: m/s. 54, Qatar: Idarah al-Awqaf wa al-Shu’un al-Islamiah).

Tarikh 12 Rabi’ al-Awwal amat dikenali dan masyhur pada majoriti umat Islam mungkin disebabkan kemasyhuran nama Ibn Ishaq sebagai tokoh yang terawal menulis berkaitan sirah kehidupan Nabi SAW dan menjadi rujukan terpenting bab tersebut. Kedua, tarikh ini telah dipilih oleh Kerajaan Fatimiyah Mesir diantara tahun 341-365 hijrah sebagai tarikh sambutan kelahiran Nabi SAW. Ia adalah sambutan rasmi kerajaan pertama yang diadakan didalam sejarah Islam.  Oleh yang demikian, ia menjadi ikutan untuk zaman selepasnya dan ini telah membuatkan tarikh tersebut dikenali ramai.

Namun, Muhammad al-Ghazali (w.1416) dalam menilai perbezaan tarikh-tarikh ini menganggap ia satu perkara yang agak sukar bagi menentukan tarikh yang sebenar. Bleiau turut memberikan satu kesimpulan yang menarik dan perlu diambil perhatian: “(usaha) penetapan hari kelahiran (Nabi SAW) tiada sebarang kaitan dari sudut pandang Islam. Maka, upacara sambutan yang diadakan adalah satu sambutan tuntutan keduniaan bukan galakan Syari’ah”. (Fiqh al-Sirah. m/s:60, Dar al-Kutub al-Hadithah).

Nilai yang hilang
Bagi melihat isu ini luar dari kerangka perdebatan akademik berkaitan tarikh tersebut, masyarakat Islam telah kehilangan unsur rahmat terbesar buat alam semesta dengan kedatangan baginda Nabi SAW. Kita akan selalu terbaca di surat khabar, melaporkan tentang bagaimana institusi itu dan ini menunjukkan rasa ‘kasih dan sayang’ keatas Nabi SAW dengan perarakan yang berwarna-warni, sepanduk yang diangkat dan perhimpunan yang besar. Tidak cukup dengan itu, diadakan juga anugerah yang bermacam-macam bagi menggambarkan nilai kecintaan itu. Ini bukan perkara baru, malah ia adalah amalan biasa yang saban tahun dianjurkan. Mengapa perlu dipersoalkan? Ia adalah sebuah persoalan yang wajar, bagi melihat kembali sama ada ia telah menjadi satu trend tiap kali 12 Rabi’ al-Awwal tiba atau ia benar-benar memenuhi tujuan rahmat yang dibawa oleh baginda SAW itu sendiri? Dikala masyarakat kelas pertengahan dan bawahan bergelut dengan kenaikan bebanan hidup, ada si kecil yang mengumpul wang syiling bagi membayar yuran persekolah, rakyat berbicara tentang bebanan yang semakin meingkat dan senarai masalah yang bertimpa-timpa, perbelanjaan yang tidak kecil dikeluarkan bagi tujuan tersebut. Anugerah Tokoh Maulid al-Rasul peringkat kebangsaan sahaja, secara keseluruhan menyediakan hadiah wang berjumlah melebihi dua ratus ribu ringgit Malaysia dan itu tidak termasuk perbelanjaan sampingan seperti persediaan majlis, makan minum dan sebagainya. Sekiranya kita punyai hati nurani yang tulus, adakah wajar dengan seluruh isu bebanan orang-orang fakir miskin itu, mengapa jumlah sebesar itu tidak ‘disalurkan’ pada mereka?

Para sahabat radiallahu ‘anhum apabila menyifatkan keperibadian Rasul SAW mereka menggambarkan keseluruhan sifat yang baik seperti pemurah, mengambil berat akan hal ehwal masyarakat sekeliling dan sebagainya. Ibn ‘Abbas R.A. menyatakan: “Sesungguhnya Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah dan puncak kemurahan baginda adalah sewaktu Ramadhan. Baginda itu lebih pemurah dari angin yang bertiup kencang”. (Muttafaqun ‘alaih) Ia juga ditegaskan sama oleh Khadijah R.A. dalam ucapannya yang terkenal: “ Engkau (Nabi SAW) adalah orang yang menjaga silaturrahim, suka membantu orang yang susah dan melarat, menjaga tetamu dengan baik…” (al-Bukhari). Mungkin inilah yang kita takuti sebagai nilai yang makin pupus. Amatlah malang apabila kegembiraan dan keseronokan menyambut hari kelahiran Nabi SAW, tanpa disedari nilai kemanusiaan yang diajarkan oleh baginda melalui kata-kata dan tindakan hanya tersimpan dibalik helaian kitab-kitab hadith. Ketika program-program televisyen kerap berjumpa dengan Muslim yang amat fakir, peruntukan institusi agama gagal menjengah pintu rumah dan pondok mereka. Nabi SAW acapkali disebut dibibir dan lidah kita namun semangat baginda gagal menjelma dalam membela nasib mereka.


Cerita karut
Selain sambutan Malid al-Rasul yang tiada kaitan dengan agama, Muhammad al-Ghazali juga menafikan wujudnya cerita-cerita ajaib yang sama sekali tiada sumber yang dipercayai dalam periwayatan kisah tersebut. Sepatutnya, apabila menyebutkan kisah bersangkutan dengan Nabi SAW, keabsahan rujukan adalah perkara yang amat dititik beratkan oleh para ulama’ Islam. Namun, ada juga yang bercerita dan suka menambah ‘perisa’ dengan adanya nilai mistik dan tarikan terhadap penceritaan terhadap baginda. Sehingga ada yang meriwayatkan cerita bahawa terdapat seorang ‘alim yang menziarahi kubur baginda SAW dan memberikan salam lantas dijawab oleh baginda. Lebih dahsyat dari itu, Nabi SAW menghulurkan keluar tangan baginda untuk bersalam dengannya.
Makam kemuliaan seorang Rasul, seperti Nabi SAW tidak memerlukan tokok tambah kerana apa yang sudah ada didalam Qur’an dan Sunnah mencukupi untuk menggambarkan ketinggian baginda disisi Allah dan manusia.
Tidak diriwayatkan satu pun dari para sahabat terutama isteri-isteri baginda SAW, mengalami perkara seperti itu. A’isyah, yang mana baginda dimakamkan didalam biliknya, ketika berlaku pertembungan diantara ‘Ali dan Aisyah didalam peperanga Jamal, tidak sekalipun Aisyah mendakwa dipihak yang benar dengan membawakan cerita berjumpa dengan Nabi SAW secara sedar atau mimpi sungguhpun baginda begitu hampir dengannya.
Pada hakikatnya, penceritaan sebegini bukan sahaja mampu merubah fokus asal memahami pengutusan baginda oleh Allah kepada bangsa manusia malah telah memburukkan wajah Islam di mata dunia. Islam hadir memerangi kebodohan dan kejahilan, tetapi ada kelompok yang tegar menggunakan kisah-kisah sebegini semata-mata untuk menarik perhatian pendengarnya.

Realiti menyedihkan
Masyarakat Islam di Malaysia hari ini tidak lagi berasa gusar dengan bilangan ustaz dan orang agama bagi menerangkan agama dan bercerita tentang susuk keperibadian Nabi SAW. Tetapi, mereka kekurangan contoh realistik orang dan pengurusan agama Islam dalam mengikuti jejak langkah Rasul SAW. Wakil-wakil Islam dalam mana-mana institusi masih lemah dan tidak aktif dalam membawa nilai-nilai yang ada pada Nabi SAW. Dalam mendepani isu-isu kontroversi misalnya, kita lebih berminat menggunakan kuasa berbanding tampil menawarkan ruang dialog/debat bagi menyelesaikan isu keagamaan. Bukan sedikit Nabi SAW tampil menjawab dan berdebat dengan Yahudi Madinah dan baginda berjaya mematahkan hujah mereka apabila cuba ingin merubah fakta.
Baginda Nabi SAW juga seorang yang selalu menjamin hak sama rata diantara sesama manusia. Taqwa yang terletak didalam jiwa tidak diukur berdasarkan bangsa sama ada Arab atau selainnya. Bahkan, sekiranya anak baginda Fatimah mencuri, baginda menawarkan diri untuk memotong sendiri tangan anak perempuan kesayangan baginda itu. Berbeza dengan realiti dunia Islam hari ini. Ada diantara kita seringkali menjadi juara dalam mempertahankan ‘hak’ segolongan pihak agar sentiasa kebal dan tidak tunduk kepada undang-undang.
Nilai yang sama sekali berbeza dengan realiti akhlak dan amalan Nabi SAW dan kehidupan masyarakat Muslim kita pada hakikatnya telah melemahkan kita sendiri. Sesungguhnya, ancaman diluar agama tidaklah sehebat seperti yang disangka, tetapi kegagalan kita mengkoreksi diri dan menjadikan nilai sebenar ‘Rasul’ sebagai utusan Allah memandu urusan dunia dan akhirat kita telah membuatkan kita tidak bermaya. Janganlah sambutan Maulid al-Rasul yang meriah dan mewah tidak tinggal hanya slogan dengan terkorbannya nilai insani yang diajar oleh Nabi SAW.





No comments:

Post a Comment