Thursday, 30 August 2012

Hudud: Permainan Istilah & Makna Pedagang Politik (1)


Tiap kali musimnya datang, Hudud menjadi siulan ramai orang. Dari yang si jahil agama dan politik kepada pakar yang diakui kesarjanaannya. Parti politik sudah tentu tidak melepaskan peluang. UMNO amat pakar dalam isu ini yang kadang kala di posisi menyerang bola tanggung dan tidak kurang menggunakannya meraih simpati dan undi.
Berbeza pula dengan PAS, secara umum nadanya konsisten. Cuma kadangkala susunan kata mengeluarkan kata diatur berhati-hati agar tidak terluka kawan baiknya DAP. Dalam sibuknya PAS merasa laluan akan sukar melaksanakan hudud dek wujudnya DAP, adakah PAS cukup yakin parti berbilang watak dan perangai seperti PKR akan memberi laluan mudah? Bagi saya, jawapannya tidak.
Sebelum itu, suka diingatkan, sangkaan banyak ‘pakar-pakar’ analisa politik di peringkat bawahan yang akan mudah membuat kesimpulan, tulisan ini pro-UMNO, noktah. Mudah dan cepat kesimpulannya. Dr. Maszlee, sahabat saya ada mengungkapkan satu ayat yang cukup menarik mengulas perangai kelompok sebegini dalam status Facebook (FB) beliau:

"Mengkritik BN tidak menjadikan seseorang itu pembangkang, mengkritik PR juga tidak menjadikan seseorang itu barua BN; sama juga mengkritik PAS tidak menjadikan seseorang Muslim itu kafir, dan mengkritik UMNO tidak menjadikan seseorang Melayu itu derhaka pada bangsa dan negaranya." Aku katakan, "Inilah politik baru aspirasi rakyat."

Selain wujudnya kelemahan PAS memahamkan rakan-rakan bukan Islam untuk lebih mesra dengan Hudud, UMNO yang sekian lama memerintah juga bukan sedikit baculnya dengan MCA dan usaha kearah pelaksanaan hudud. Walaupun kita tidak disuruh menghukum manusia, namun UMNO akan jadikan hudud sebagai modal pada sesetengah ketika. Saya setuju pandangan itu. Tetapi, PAS tidaklah lebih baik mempromosi kefahaman yang lebih baik akannya.

PAS perlu berhenti untuk menyalahkan parti lawan dalam banyak perkara. PAS perlu banyak belajar dari rakan-rakan politik yang seangkatannya di banyak negara Arab pasca-revolusi. Ikhwan di Mesir tidak kelam kabut dengan hudud selepas mendapat kuasa kerana hudud memerlukan suasana yang kondusif yang mampu dilihat dan dirasa ia adil. Berapa banyak pihak-pihak diatas sana yang dikritik pun amat ‘maksum’ apatah lagi diambil tindakan. Pernah diusahakan agar ‘kemaksuman’ itu dikurangkan, PAS juga berlagak jaguh katanya itu menderhaka. Kekekurangan sikap konsisten itu akan memalitkan salah faham yang bukan sedikit pada Islam bukan sahaja pada parti politik Islam.

Tidaklah salah buat PAS untuk melupakan seketika idea hudud tersebut. Bukan menganggapnya bukan hukum Allah sepertimana Ikhwan di Mesir tidak melaksanakannya bukan kerana ia tidak wajib. Tetapi ia memerlukan pra-syarat yang bukan sedikit. Bukan jua  kita lengah-lengahkan, tidak juga memandai-mandai. Ia telah disebut sarjana Islam berkurun lama bahkan ia pernah tidak dilaksanakan seketika dalam beberapa zaman. Hudud adalah hukum Allah yang wajib bagi mana-mana Muslim  bercita-cita sama ada melaksanakannya atau membantu pelaksanaannya. Tetapi ia bukan semudah cita-cita politik dan menifesto pilihanraya. Lihat pada realiti bukan sekadar fantasi!

Hilang Dalam Terang


Semenjak tiba di Malaysia saya gagal menyusun masa untuk menulis. Saya kagum dengan penulis-penulis sama ada di blog atau mana-mana ruang penulisan yang begitu konsisten menulis. Ironinya, saya cukup berbeza. Sekembalinya dari London, program yang disusun dani tersusun tanpa sedar telah mengalih tumpuan saya pada Ramadhan yang pada tika saya tulis entri ini hanya tinggal dalam kurang 24 jam. Juga saya amat sedikit memberikan masa untuk keluarga, walau masih tidak berkeluarga sendiri namun ibu saya selalu saya tinggalkan tanpa layanan.


Pernah saya katakan, kadangkala London yang sebegitu pesat dalam kemodenannya dan kalut kehidupannya, saya temui ketenangan seketika disebalik jadual kelas di SOAS. Tetapi, manusia apabila hilangnya kenikmatan seketika yang mana dirasakan tiada makna akan kembali meraba dimana mahu digapai masa yang terluang, sihat yang hilang dan hidup yang tenang. Benarlah ketika Nabi SAW mengungkapkan hakikat hidup ini mengenai dua nikmat yang selalu dipandang sepi ketika dinikmati tetapi semasa hilang disesali. Kata baginda SAW:
نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ) [رواه البخاري]
Maksudnya: "Dua nikmat yang selalu diabaikan oleh kebanyakkan manusia: nikmat sihat dan lapang (masa). (riwayat al-Bukhari) 
Benarlah, tiada mereka yang paling menikmati kenikmatan sihat tubuh badan melainkan mereka yang diuji musibah sakit. Begitu juga nikmat lapangnya hidup tidak dirasai melainkan bagi mereka yang selalu mengadu mereka tiada masa untuk itu dan ini.