Tiap kali musimnya datang, Hudud menjadi siulan ramai
orang. Dari yang si jahil agama dan politik kepada pakar yang diakui
kesarjanaannya. Parti politik sudah tentu tidak melepaskan peluang. UMNO amat
pakar dalam isu ini yang kadang kala di posisi menyerang bola tanggung dan
tidak kurang menggunakannya meraih simpati dan undi.
Berbeza pula dengan PAS, secara umum nadanya
konsisten. Cuma kadangkala susunan kata mengeluarkan kata diatur berhati-hati agar
tidak terluka kawan baiknya DAP. Dalam sibuknya PAS merasa laluan akan sukar
melaksanakan hudud dek wujudnya DAP, adakah PAS cukup yakin parti berbilang
watak dan perangai seperti PKR akan memberi laluan mudah? Bagi saya, jawapannya
tidak.
Sebelum itu, suka diingatkan, sangkaan banyak ‘pakar-pakar’
analisa politik di peringkat bawahan yang akan mudah membuat kesimpulan,
tulisan ini pro-UMNO, noktah. Mudah dan cepat kesimpulannya. Dr. Maszlee,
sahabat saya ada mengungkapkan satu ayat yang cukup menarik mengulas perangai
kelompok sebegini dalam status Facebook (FB) beliau:
"Mengkritik BN tidak menjadikan seseorang itu pembangkang, mengkritik PR juga tidak menjadikan seseorang itu barua BN; sama juga mengkritik PAS tidak menjadikan seseorang Muslim itu kafir, dan mengkritik UMNO tidak menjadikan seseorang Melayu itu derhaka pada bangsa dan negaranya." Aku katakan, "Inilah politik baru aspirasi rakyat."
Selain
wujudnya kelemahan PAS memahamkan rakan-rakan bukan Islam untuk lebih mesra
dengan Hudud, UMNO yang sekian lama memerintah juga bukan sedikit baculnya
dengan MCA dan usaha kearah pelaksanaan hudud. Walaupun kita tidak disuruh
menghukum manusia, namun UMNO akan jadikan hudud sebagai modal pada sesetengah
ketika. Saya setuju pandangan itu. Tetapi, PAS tidaklah lebih baik mempromosi
kefahaman yang lebih baik akannya.
PAS
perlu berhenti untuk menyalahkan parti lawan dalam banyak perkara. PAS perlu
banyak belajar dari rakan-rakan politik yang seangkatannya di banyak negara
Arab pasca-revolusi. Ikhwan di Mesir tidak kelam kabut dengan hudud selepas
mendapat kuasa kerana hudud memerlukan suasana yang kondusif yang mampu dilihat
dan dirasa ia adil. Berapa banyak pihak-pihak diatas sana yang dikritik pun
amat ‘maksum’ apatah lagi diambil tindakan. Pernah diusahakan agar ‘kemaksuman’
itu dikurangkan, PAS juga berlagak jaguh katanya itu menderhaka. Kekekurangan sikap
konsisten itu akan memalitkan salah faham yang bukan sedikit pada Islam bukan
sahaja pada parti politik Islam.
Tidaklah
salah buat PAS untuk melupakan seketika idea hudud tersebut. Bukan menganggapnya
bukan hukum Allah sepertimana Ikhwan di Mesir tidak melaksanakannya bukan
kerana ia tidak wajib. Tetapi ia memerlukan pra-syarat yang bukan sedikit. Bukan
jua kita lengah-lengahkan, tidak juga
memandai-mandai. Ia telah disebut sarjana Islam berkurun lama bahkan ia pernah tidak
dilaksanakan seketika dalam beberapa zaman. Hudud adalah hukum Allah yang wajib
bagi mana-mana Muslim bercita-cita sama
ada melaksanakannya atau membantu pelaksanaannya. Tetapi ia bukan semudah
cita-cita politik dan menifesto pilihanraya. Lihat pada realiti bukan sekadar
fantasi!
No comments:
Post a Comment